|
NOOR ARIF DILANTIK PENGURUS BESAR SPPP
Encik Noor Arif bin Yusoff telah dilantik sebagai Pengurus Besar SPPP yang baru. Pelantikan beliau berkuatkuasa mulai 12 Mac 2009. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah di Bahagian Keselamatan Pelayaran, Ibu Pejabat Jabatan Laut
Malaysia, Pelabuhan Klang.
Berkelulusan dalam Master Degree In International Shipping, United Kigdom, beliau merupakan Pengurus Besar SPPP yang keempat sejak tahun 1994.
SISTEM ZBK DI PELABUHAN PULAU PINANG BEROPERASI APRIL 2010
Sistem Zon Bebas Komersil (Sistem ZBK) yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang April 2010.
Sehingga kini, pembangunan sistem ini sudah pun siap 97% dan beberapa proses kemas kini sedang giat dilaksanakan ke atas tiga modul yang ditetapkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Sistem ZBK membolehkan para pengguna pelabuhan mengisytiharkan dagangan dengan lebih menjimatkan, selamat dan selesa 24 sehari, tujuh hari seminggu.
TANJONG
CITY MARINA ANJUR REGATTA
Tanjong City Marina di Pelabuhan Pulau Pinang sekali lagi menjadi lokasi persinggahan bagi acara berprestij Regatta antarabangsa Raja Muda Selangor ke-20 dari 17 - 20 November 2009. Sebanyak 62 buah kapal layar dengan 400 orang peserta mengambil bahagian dalam acara kali ini.
Antara yang turut serta di dalam regatta ini ialah DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafudin Idris Shah.
Regatta ini adalah merupakan perlumbaan merentas lautan yang membawa kapal-kapal layar terbabit dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pangkor, kemudiannya terus ke Pulau Pinang dan berakhir di Langkawi. Jarak keseluruhan bagi perlumbaan ini ialah 400 batu nautika.
JETI SWETTENHAM DIBUKA KEPADA KAPAL PERSIARAN ANTARABANGSA
Bandaraya George Town telah diberi nafas baru dengan siapnya Jeti Swettenham yang bernilai RM62.9 juta. Terminal penumpang ini berupaya untuk menerima kapal-kapal penumpang antarabangsa seberat 90,000 tan dan menerima kapal persiaran pertamanya, SuperStar Libra pada 13 November 2009.
Kapal persiaran terkenal, Queen Mary II juga membuat persinggahan ulungnya di Jeti Swettenham pada 4 Februari 2010. Kapal-kapal lain yang singgah di terminal ini ialah SuperStar Virgo, Amusement World and AIDAcara.
Star Cruises juga telah menjadikan Jeti Swettenham sebagai pangkalan bagi kapal Star Pisces. Star Pisces menawarkan kemudahan kruis satu malam dari Jeti Swettenham ke perairan Pulau Pinang setiap hari dari jam 8 malam sehingga 8 pagi keesokan harinya.
MENTERI PERKAPALAN BANGLADESH MELAWAT PELABUHAN PULAU PINANG
Menteri Perkapalan Bangladesh, TYT Shahjahan Khan telah mengadakan lawatan rasmi ke Pelabuhan Pulau Pinang pada 19 Januari 2010. Beliau telah diiringi oleh 21 orang para pegawai dari Kementerian Perkapalan Bangladesh, pihak konsulat, pihak berkuasa pelabuhan dan ahli perniagaan dari Bangladesh.
Ketibaan beliau dan delegasi telah disambut oleh Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Puan Tan Cheng Liang dan Pengurus Besar SPPP Encik Noor Ariff Yusoff. Turut sama menyambut ketibaan beliau ialah Pengerusi Penang Port Sdn. Bhd., Y.B. Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya.
Di dalam lawatan tersebut, kedua-dua pihak telah berbincang mengenai pengurusan dan operasi di Pelabuhan Pulau Pinang di samping bertukar-tukar pandangan mengenai peluang dan kemudahan yang ditawarkan di Pelabuhan Pulau Pinang. Beliau juga telah dibawa melawat ke sekitar Jeti Swettenham dan Pangkalan Kontena Butterworth Utara.
PROJEK PEMBESARAN PKBU FASA IIIA BERJALAN LANCAR
Projek pembesaran Pangkalan Kontena Butterworth Utara (PKBU) Fasa IIIA sedang giat dilaksanakan dan kemajuan projek ini ialah sebanyak 65%. Projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2011 dan bakal meningkatkan jumlah kendalian kontena di Pelabuhan Pulau Pinang kepada 1.2 juta TEU.
Untuk meningkatkan tahap produktiviti, Pelabuhan Pulau Pinang telah melaburkan sejumlah RM175 juta untuk pembelian tujuh kren ganti yang baru. Jumlah kendalian kontena di Pelabuhan Pulau Pinang pada tahun 2009 ialah sebanyak 958,476 TEU, meningkat 3.1% berbanding 929,639 TEU pada tahun 2008.
BAHAGIAN OPERASI / KAWALSELIA SPPP KINI DI BUTTERWORTH
Bahagian Operasi / Kawal Selia Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang yang terdiri daripada Bahagian Kejuruteraan, Marin, Kepolisan dan Kebombaan, Dagangan Berbahaya serta Trafik dan Feri kini telah berpindah ke pejabat baru iaitu di Suite 1, Tingkat 11, NB Tower, 5050 Jalan Bagan Luar, 12000 Butterworth, Pulau Pinang.
Para pengguna pelabuhan noleh menghubungi unit ini di talian 604-3238532/3332930/3240182. Talian faks pula ialah 604-3243416/3240166.
SPPP KEKALKAN PENSIJILAN MS ISO 9001:2008
Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang telah menerima pensijilan semula MS ISO 9001:2008 di dalam Sistem Pengurusan Berkualiti berikutan kejayaan audit pematuhan dan audit reassessments pada bulan Disember 2009.
Pengauditan tersebut dijalankan secara dalaman terlebih dahulu pada 16 dan 17 Disember 2009. Kemudiannya pengauditan sebenar telah dilaksanakan oleh Encik Fadzil Ishak dari SIRIM QAS International Sdn. Bhd. pada 23 dan 24 Disember 2009.
|