ENGLISH VERSION

[ Installasi Pelabuhan / Jeti Teluk Ewa ]
JETI TELUK EWA

Melalui satu Perintah Menteri, SPPP telah dilantik sebagai Pihak Berkuasa Pelabuhan dan juga Badan Kawal Selia bagi Jeti Teluk Ewa di Langkawi mulai 1 Januari 1999. Perluasan bidang kuasa tersebut terlaksana melalui satu pindaan ke atas Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1955 (Seksyen 80A). Mulai pada tarikh tersebut, Kerajaan Malaysia telah menswastakan operasi di Jeti Teluk Ewa. Berikutan dari penswastaan tersebut, bidang kuasa dan tugas SPPP telah diperluaskan ke Pelabuhan Teluk Ewa.

Bagi mengendalikan kargo-kargo di Jeti Teluk Ewa, SPPP (Teluk Ewa), telah mengeluarkan lesen mengendalikan pelabuhan kepada Kedah Cement Jetty Sdn. Bhd. (KCJSB) untuk tempoh konsesi selama 30 tahun. Selaku operator pelabuhan di Jeti Teluk Ewa, KCJSB bertanggungjawab mengutip semua caj-caj di Jeti Teluk Ewa selaras dengan Undang-Undang Kecil Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (Scale of Rates, Dues and Charges) 1998 kecuali dius pelabuhan.

SPPP (Teluk Ewa) yang menjadi Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Badan Kawal Selia adalah entiti berasingan dari SPPP. Namun begitu, pengurusan harian SPPP (Teluk Ewa) tetap dilaksanakan oleh pihak pengurusan dan kakitangan SPPP. Ahli Lembaga Pengarah SPPP juga dilantik sebagai Ahli Lembaga SPPP (Teluk Ewa) dengan sedikit perubahan iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah menggantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.